Kontroversi penulis tidak puas hati dengan bayaran | Penerbit Ombak Rindu beri penjelasan | Boros Di Aralom

Sabtu, 10 Disember 2011

Kontroversi penulis tidak puas hati dengan bayaran | Penerbit Ombak Rindu beri penjelasan

Menurut myMetro.com: KENYATAAN penulis novel Ombak Rindu, Fauziah Ashari menerusi artikel Memang Tak Berbaloi dalam ruangan Interaksi Rabu lalu, mengundang episod kontroversi terbaru filem ini.


Luahannya yang menyifatkan penerbit novel ini, Alaf 21 seakan tidak adil, ternyata kurang disenangi Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub. 


Beliau bersama Penerbit Eksekutif Alaf 21, Firdaus Hussamuddin, Penasihat Alaf 21, Nordin Mohamed dan peguam Alaf 21, Zuwita Kamaruzaman tampil menjawab dakwaan ini pada sidang media khas yang diadakan di pejabat Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam, semalam untuk memberi penjelasan dan gambaran sebenar apa yang berlaku. 


Katanya, perbincangan untuk adaptasi novel kepada filem bermula pertengahan 2009 apabila mereka dihubungi Tarantella Pictures Sdn Bhd untuk meminta kebenaran mengangkatnya ke filem.


“Apabila Ombak Rindu nak dijadikan filem, kami buat keputusan menjual dengan harga yang dirasakan patut. Ini kerana sebelum ini ada penerbit yang ambil novel kami tanpa kebenaran dan ubahsuai jalan cerita. Ini langsung tidak beri hasil kepada kami.


“Kami faham penerbit kena keluarkan kos untuk buat skrip semula novel yang dijadikan filem atau siri TV. Apabila ditawarkan harga RM4,000, kami bersetuju. Daripada tidak dapat apa, ada baiknya kerana sekurang-kurangnya penulis dapat royalti. Sebagai penerbit buku, kami berasakan filem ini meletup, buku ini akan kembali meletup,” katanya. 
Hussamuddin mengakui antara novel terbaik terbitan Alaf 21 ialah Ombak Rindu 


dan mereka sudah membayar royalti sebanyak RM219,000 kepada Fauziah iaitu sebelum filem ini dihasilkan. 
“Kalau Fauziah pernah dapat lebih RM200,000 tanpa filem, bayangkan berapa dia akan dapat sekiranya filem ini meletup. Kami dah ulang cetak Ombak Rindu sebanyak 20,000 keping dan habis dan ulang cetak lagi 20,000. 
“Saya jangkakan fenomena ini boleh pergi jauh mungkin kami akan cetak lagi banyak. Kalau jumlah 40,000 kami cetak terjual, dia akan dapat sekurang-kurangnya RM50,000. 


“Jadi kami rasa perlu perjelaskan di sini, adalah tidak adil memberi kenyataan yang boleh memberi gambaran kami ‘makan’ penulis. Fauziah tahu kerana dia sudah tandatangan kontrak. Kalau dia tidak baca, itu salahnya sendiri. Dia seorang penulis sepatutnya dia kena jadi seorang pembaca. 


“Kami nak jelaskan juga, Fauziah dan juga semua penulis-penulis Alaf 21 sudah menandatangani kontrak untuk memberi kuasa kepada kami menguruskan buku, penerbitan dan kami berhak secara mutlak menerbitkan karya ini dalam penerbitan lain seperti pementasan filem, video, 3G dan apa juga bentuk mengikut perkembangan teknologi elektronik. 
“Kami juga diberi kuasa untuk mengurus dan buat keputusan. Sebelum kewujudan Alaf 21, novel-novel di Malaysia hanya dijual sekitar 3,000 hingga 5,000 naskah sahaja dan adakalanya lima tahun pun tidak habis. Tapi sejak kemunculan Alaf 21, bayangkan novel boleh dijual sehingga ratusan ribu hingga kami bayar royalti dengan jumlah ratusan ringgit kepada Fauziah. 


“Biasanya novel hanya meletup sekejap sebelum menurun jualannya. Apabila kami lihat stok dalam gudang tidak laris dan kami didatangi untuk dijadikan filem, kami buat keputusan untuk menjual dengan harga yang kami rasa patut. Kita tahu graf jualan filem di Malaysia pun tidak bagus sangat sebelum ini. 


“Bila novel ini dijadikan filem dan ia meletup di pasaran, novelnya juga kembali meletup,” katanya. 
Menjawab pertanyaan mengapa tidak meminta lebih dari produser filem, Hussamuddin berkata, dia menyedari kesukaran kos yang perlu dikeluarkan dan tidak mahu membebankan mereka. 


Baginya, ini adalah situasi menang-menang kerana walaupun Fauziah tidak dapat banyak dari filem, dia boleh mendapatkan hasil menerusi royalti. Bahkan Fauziah perlu berterima kasih kepada Alaf 21. 


“Sebagai penerbit, kami sentiasa terbuka menerima pandangan dan menjaga kepentingan semua pihak. Saya mahu menutup isu ini. 


“Saya juga tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap Fauziah dan sudi menjalinkan kerjasama selanjutnya,” katanya. 

  • Rahsia merampas trafik percuma dari FACEBOOK di SINI 
  • Lindungi rumahtangga anda daripada gangguan pihak ketiga. Caranya di SINI 
  • Dapatkan ebook (Bahasa Melayu) mengenai fakta, sejarah, dan cara-cara yang mudah dan meyakinkan dalam pelaburan Emas $$SINI$$

Tiada ulasan: