Remember Titanic?? (sekadar gambar hiasan) |
Alor Setar: Hanya disebabkan mengalami tekanan perasaan selepas putus cinta enam tahun lalu, seorang lelaki nekad terjun ke laut dari sebuah feri penumpang dalam kejadian kira-kira 10 batu nautika dari Jeti Kuala Kedah, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 8 pagi, lelaki berusia 36 tahun dari Taman Mahawangsa, dekat sini, dikatakan naik ke tingkat atas feri dan melakukan aksi ala ‘Titanic’ di penjuru sebelum terjun pada ketinggian kira-kira 10 meter.
Difahamkan, kejadian itu menyebabkan perjalanan feri berkenaan yang bertolak dari Langkawi pada jam 7.30 pagi tergendala selama 30 minit dan tiba di Jeti Kuala Kedah kira-kira jam 9 pagi.
Kapten feri hanya menyedari kejadian selepas ternampak kepala mangsa dalam laut lalu memperlahankan feri dan memaklumkan kejadian kepada Bilik Gerakan, Pejabat Jeti Penumpang, Jabatan Laut Kuala Kedah.
Seorang penumpang yang juga kakitangan Jabatan Laut Langkawi Ahmad Hamdan Ahmad Fuad, 30, berkata, ketika kejadian dia bersama seorang rakan berada di tempat duduk penumpang tingkat bawah sebelum terdengar bunyi jeritan dan kecoh di tingkat atas.
“Saya terus naik ke atas untuk memeriksa keadaan dan melihat ada seorang lelaki dalam keadaan lemah dalam air sedang menjerit sambil tangan terkapai-kapai meminta tolong.
“Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya terus mencampakkan pelampung keselamatan dan mengarahkan lelaki terbabit berpaut sebelum menariknya naik ke atas feri dibantu beberapa kru feri,” katanya ketika ditemui, di sini.
Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan menuju Kuala Kedah menghadiri mesyuarat.
Katanya, sebelum kejadian dia melihat mangsa berjalan dari ruang tingkat bawah dan naik ke tingkat atas bersendirian, namun tidak mengendahkannya kerana disangka kru feri.
Bagaimanapun katanya, 10 minit kemudian dia terdengar jeritan memberitahu ada orang terjun dan terus naik ke tingkat atas.
“Keadaan ombak yang beralun kuat ketika itu menyukarkan mangsa mencapai pelampung keselamatan, tetapi dengan semangat diberikan kru serta penumpang lain, mangsa gagahkan diri mencapai pelampung.
“Saya bersama kru menarik mangsa naik dan diberikan bantuan kecemasan jururawat yang kebetulan turut menaiki feri,” katanya. - myMetro
>> Lihat siri generasi Toyota Corolla sejak tahun 1966..memang masih gempak!
>> Lihat siri generasi Toyota Corolla sejak tahun 1966..memang masih gempak!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan