1001 Isu Rampasan Bible: PKR tawar diri jadi orang tengah
Isu ini tak kan pernah selesai selagi masih ada individu-individu ektrimis macam 'Abraham Eli' yang memang 'kebal' dengan undang-undang. Di peringkat global, isu ini diselesaikan dengan dialog antarabangsa yang membawa para pemikir dan alim ulama untuk berdialog secara muafakat. Daripada dok suruh orang bakar Bible, kan lebih elok buat dialog sesama pemimpin agama.
PKR menawarkan diri bagi mengambil inisiatif mempertemukan semua pihak yang terlibat dalam kes rampasan Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) agar sama-sama berbincang menyelesaikan permasalahan itu.
Ketua Penerangan PKR Dr Muhammad Nur Manuty (gambar) berkata, konflik dan ketegangan yang melanda negara masa kini menampakkan dengan jelas bahawa persefahaman rakyat Malaysia pelbagai agama dan etnik masih berada di tahap meresahkan serta perlu kepada usaha penyelesaian segera.
“PKR yakin pendekatan berhikmah dalam menangani isu keagamaan adalah cara terbaik bagi mengelakkan ketegangan antara penganut agama Islam dan Kristian di negara ini berterusan.
“Sesungguhnya ketegangan hidup beragama adalah bertentangan dengan prinsip beragama, Perlembagaan Malaysia dan amalan demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Jais menyerbu Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Damansara dan merampas 300 Bible dalam bahasa Iban dan Melayu.
Jais turut menahan dua pegawainya iaitu Pengerusi PBM Lee Min Choon dan Setiausaha Agung, Simon Wong untuk dibawa ke Balai Polis Damansara Utama.
Salah seorang ahli PBM berkata, ketika itu mereka sedang mengira stok dan diarahkan untuk tidak membuka pintu apabila 20 pegawai Jais bersama dua angota polis tiba di premis itu pada jam 1 tengahari.
Muhammad berkata, PKR berasa prihatin untuk melihat konflik yang timbul antara Jais dengan PBM dapat diselesaikan segera dalam suasana harmoni, adil dan jujur.
Katanya, salah faham dan prejudis di kalangan sebahagian penganut agama Islam dan Kristian seperti yang telah berlaku kebelakangan ini boleh diselesaikan secara praktikal dan harmoni meskipun terdapat beberapa halangan.
“PKR berharap dialog yang bakal dianjurkan nanti akan dapat menyuburkan kesedaran mengenai kepentingan budaya dialog antara masyarakat Malaysia ke arah negara yang aman dan makmur.
“Ia juga diharapkan dapat mengumpul pandangan secara objektif berkaitan keresahan dan kebimbangan sebenar masyarakat pelbagai agama untuk diusahakan jalan penyelesaian terbaik oleh semua pihak,” katanya.
Muhammad berharap semua pihak terlibat tidak terperangkap dengan agenda musuh yang mahu melihat hidup aman dan toleransi beragama di Malaysia musnah setelah sebelum ini masyarakat berbilang agama di Malaysia telah berjaya membina suasana harmoni, saling hormat menghormati dan bertolak ansur.
Semalam, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata pendekatan kasar yang diambil Jais ke atas masyarakat Kristian di negara ini membuktikan tindakan itu bermotifkan politik dan bukan didorong faktor agama.
Beliau menyeru Putrajaya segera mengambil langkah menghalang badan agama Islam seperti Jais daripada melakukan serbuan atau percubaan menguatkuasakan undang-undang negeri ke atas pertubuhan bukan Islam sambil memberi amaran tindakan tersebut boleh mengeruhkan lagi hubungan antara agama di negara ini.
Katanya, kerajaan perlu merujuk Majlis Perundingan Perpaduan Kebangsaan yang ditubuhkan kabinet baru-baru ini, yang dijangka mengadakan mesyuarat mengenai kontroversi penggunaan kalimah Allah pada 6 Januari.
Mujahid, yang turut dilantik Putrajaya sebagai ahli panel majlis tersebut, berkata insiden hari ini perlu dibincang pada mesyuarat itu kerana badan agama Islam tidak harus bertindak memandangkan isu penggunaan kalimah Allah masih dibicarakan di mahkamah. – 3 Januari, 2014. - MalaysianInsider