1001 Isu Kalimah Allah, Beza di Semenanjung dan Sabah Sarawak
Saya sangat tertarik dengan satu artikel yang diterbitkan di Malaysian Insider bertajuk Pengunaan kalimah ‘Allah’ tidak akan menggugat anak muda Islam yang ditulis oleh Siti Nor Zaimah Zaini. Memang lah ini satu isu sensitif sebab ianya berkaitan dengan kepercayaan dan agama tapi dari artikel tersebut, sebagai anak Sabah, saya sangat bersetuju dengan pendapat yang dikemukakan oleh penulis.
Di Sabah amnya, penggunaan kalimah Allah dalam Bible atau Alkitab sudah lama dipraktikkan sejak pemerintahan British lagi. Saya masih ingat cerita dari seorang pendeta tua tentang cara mereka menyebarkan agama Kristian di sekitar daerah Kota Belud, Ranau, dan Sipitang yang masih lagi mengamalkan kepercayaan Animisme. Ianya berlaku sekitar awal tahun 20an. Kebanyakkan pendeta atau missionary yang datang adalah berbangsa asing tapi mahir berkomunikasi dalam bahasa tempatan dan bahasa Melayu. Jadi untuk memudahkan penyebaran agama Kristian ini, mereka menggunakan bahasa tampatan dari segi pengucapan dan penulisan.
Maka dengan itu, mereka menerbitkan buku Bible dalam bahasa tempatan seperti KadazanDusun dan bahasa Murut. Dalam buku ini, kalimah ALLAH tidak digunakan. 'Tuhan' diterjemahkan kepada 'Kinorohingan'. Tetapi disebabkan penggunaan bahasa Melayu yang meluas di Borneo, para misionary ini turut menggunakan Bible dalam terjemahan Bahasa Indonesia. Versi ini menggunakan kalimah 'Allah'.
Bible dalam bahasa Indonesia banyak digunakan sehingga kini terutamanya bagi masyarakat Kristian bumiputera Sabah dan Sarawak. Selepas versi Bahasa Indonesia, satu lagi versi Bible dalam Bahasa Melayu juga telah diterbitkan sekitar awal tahun 1990an dan versi ini turut menggunakan kalimah 'Allah' dalam penulisannya. Salah satu tujuannya ialah untuk mengembangkan agama Kristian di kalangan orang Asli di Semenanjung yang kebanyakkannya hanya memahami bahasa Melayu.
Selain itu, disebabkan jumlah penduduk Sabah dan Sarawak yang berhijrah ke Semenanjung semakin meningkat, jadi tidak hairanlah kenapa semakin banyak Bible bahasa Melayu yang digunakan di sana. Ianya untuk kegunaan mereka beribadat dan menunaikan tanggungjawab mereka terhadap agama. Renung-renungkanlah, Apakah perasaan mereka bila ditegah dari menyebut nama tuhan mereka sebagai 'Allah'? yang mereka guna sejak dari kecil lagi..Tak kan nak paksa mereka tukar kepada nama lain..mesti mereka sedih..Lagipun, negara Malaysia sudah ada Perlembagaan yang memperuntukkan kebebasan beragama. Yang ditegah dalam perlembagaan ialah agama lain tidak boleh menyebarkan agama mereka kepada penduduk yang beragama Islam. Jika ini berlaku, maka memang patut dikenakan tindakan undang-undang.
Memang isu ini sangat sensitif bagi masyarakat Melayu di Semenanjung yang keseluruhannya beragama Islam. Mungkin ada yang akan cakap bahawa isu ini berlaku disebabkan oleh masalah kesalahan terjemahan dan perlu diubah. Cakap memang senang, tapi ianya tidak semudah yang disangkakan. Dah lebih setengah abad ia digunapakai oleh orang Kristian terutamanya di Sabah Sarawak. Menyuruh mereka mengubah perkataan tersebut ibarat menyuruh mereka menyembah tuhan baru.
Dan lagi satu, sudah-sudahlah mempolitikkan hal ehwal agama ini. Maaf jika perkongsian ini mengguris hati sesiapa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan