Sekolah ranap dilanda banjir lumpur di Kg. Bawang, Tamparuli | Boros Di Aralom

Rabu, 15 Januari 2014

Sekolah ranap dilanda banjir lumpur di Kg. Bawang, Tamparuli

Banjir lumpur melanda SK Bawang (Kredit foto: myMetro)

TAMPARULI: Kira-kira 50 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang, dekat sini, nyaris maut apabila satu daripada tiga blok bangunan sekolah berkenaan ranap akibat dilanda limpahan banjir lumpur, hari ini.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, murid tahun satu, lima dan enam yang belajar dalam satu blok sama berada di bilik darjah masing-masing. 

Bagaimanapun, semua murid terbabit terselamat selepas pengawal yang bertugas di sekolah itu, Saminah Kijuh, 49, menyedari kejadian berkenaan sebelum menjerit meminta mereka meninggalkan bilik darjah dengan segera. 

"Sebelum kejadian, seorang penduduk datang memaklumkan pada saya, ada tanda tanah dari arah bukit di belakang sekolah itu akan runtuh," kata Saminah yang berada kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

"Berikutan itu, saya menjerit meminta guru dan murid sekolah terbabit, mengosongkan segera bilik darjah masing-masing untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

"Tidak sampai lima minit guru dan murid meninggalkan bilik darjah, kejadian tanah runtuh berlaku diikuti banjir lumpur yang meranapkan bangunan bilik darjah kelas agama, bengkel dan kantin sekolah itu," katanya ketika ditemui, hari ini. 

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dialami guru dan murid sekolah yang berusia lebih 50 tahun itu. 

Difahamkan, kejadian berpunca hujan lebat berterusan lebih 36 jam lalu itu adalah yang kedua selepas peristiwa sama pernah menjejaskan SK Bawang pada 2005. 

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung (JKKK) Kiwoi, Jamairin Rosman, memaklumkan SK Bawang terpaksa ditutup sementara, selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Tuaran, mengesahkan tanah pada bukit berhampiran tidak kukuh, yang mungkin boleh menyebabkan runtuhan baru. - myMetro


P/s: Syukurlah tiada kemalangan jiwa yang berlaku..tempat ni tak jauh dari kampung saya. Sejak Ahad lalu, asyik hujan saja. Kejap hujan, kejap reda, kejap lagi hujan, kejap reda..begitulah keadaannya sehingga kini dan dijangka akan berterusan sampai esok. Bukan setakat banjir lumpur malah tanah runtuh juga banyak berlaku di kawasan Tamparuli. Terbaru, di jalan Kiulu. Bila baca berita macam ni, rasa seram pulak...apa pun kepercayaan anda, marilah sama-sama berdoa untuk keselamatan penduduk yang terkesan dengan cuaca tak menentu ini.

Tiada ulasan: